Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) menerima buku Belanjawan 2021 Negeri Pahang daripada Pegawai Kewangan Negeri, YH Dato' Indera Nazri Abu Bakar (kanan) sambil disaksikan YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak sebelum YAB Menteri Besar Pahang membentangkan Belanjawan 2021 Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG SASAR 95 PERATUS KUTIPAN HASIL TANAH TAHUN HADAPAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang menyasarkan kutipan hasil tanah sebanyak 95 peratus pada tahun hadapan.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sasaran kutipan ini termasuklah bayaran premium tanah, permit, denda, pampasan dan sebagainya.

“Kerajaan Negeri Pahang telah menetapkan kutipan hasil tanah sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) pada tahun ini dengan sasaran hasil tanah ditetapkan sebanyak 95 peratus dan sasaran bagi kutipan tunggakan cukai tanah adalah sebanyak 80 peratus.

“Sasaran kutipan hasil tanah bagi Negeri Pahang untuk tahun 2021 adalah sebanyak RM452.285 juta. Kutipan ini termasuk bayaran premium tanah, permit, denda, rampasan dan sebagainya,” katanya ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2021 Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Pahang telah menubuhkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang yang memberikan tumpuan berterusan terhadap kes-kes yang menyebabkan kehilangan hasil Kerajaan Negeri.

“Sebagai contoh, operasi penguatkuasaan perundangan tanah di Kampung Pamah Lebar, Daerah Raub melibatkan kawasan seluas 198.53 ekar telah berjaya mengekang kerugian hasil Kerajaan Negeri yang dianggarkan berjumlah RM3.15 juta.

“Manakala operasi penguatkuasaan di Kampung Kundang, Daerah Pekan yang melibatkan keluasan tanah seluas 500 ekar milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK) pula berjaya mengekang ketirisan kutipan hasil Kerajaan Negeri yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

“Sehingga ke hari ini, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang telah berjaya menyita 20 buah jentera yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta di atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Beliau berkata Unit Pasukan Khas turut menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya mengutip RM31 juta tunggakan hasil tanah.

“Jumlah kompaun dan denda yang berjaya dikutip sepanjang tahun 2019 dan 2020 adalah bernilai RM627,000 dan 43 kes telah dibawa ke mahkamah untuk tindakan pendakwaan.

“Sebanyak RM231,000 tunggakan pinjaman ternakan dan sejumlah RM148,000 tunggakan sewa Taman Kekal Pengeluaran Makanan telah berjaya dikutip,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 338 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: