Barisan Exco Kerajaan Pahang menunjukkan Buku Belanjawan 2021 Negeri Pahang selepas Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail membentangkan belanjawan di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG AKAN WUJUDKAN MAJLIS PERINDUSTRIAN NEGERI TAHUN HADAPAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang akan mewujudkan Majlis Perindustrian Negeri Pahang pada tahun hadapan bagi membincangkan isu dan hala tuju perindustrian di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata penubuhan Majlis Perindustrian Negeri Pahang ini adalah bertujuan untuk menyeragam, menyelaras dan membantu semua pemain industri dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif yang terkandung dalam Pelan Perindustrian dan Pembangunan Negeri Pahang 2020 hingga 2025.

“Ia akan melibatkan Pengerusi Jawatankuasa yang berkaitan dengan perladangan, pelancongan, pertanian, infrastruktur dan belia serta semua Pegawai Daerah, Ketua Jabatan yang berkaitan dan pemain-pemain industri.

“Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM200,000 untuk tujuan pelan ini. Pelan Perindustrian dan Pembangunan ini telah diwujudkan untuk mengenal pasti hala tuju pembangunan perindustrian bagi menjadikan Negeri Pahang sebagai sebuah negeri maju dan kompetitif menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga sedang dalam perancangan untuk mewujudkan Majlis Pembangunan Wilayah Pahang Barat Plus di negeri ini.

“Wilayah Pahang Barat Plus ini merangkumi Daerah Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Raub, Bentong dan Bera. Plus ini adalah merujuk kepada Daerah Bera.

“Tujuan majlis ini ditubuhkan adalah untuk memantau pelaksanaan Pelan Pembangunan Ekonomi Pahang Barat yang akan menjadi hala tuju kepada perancangan pembangunan di Wilayah Pahang Barat Plus.

“Ini adalah kerana pembangunan di Wilayah Pahang Barat Plus jauh ketinggalan jika dibandingkan pembangunan di Wilayah Pahang Timur khususnya Daerah Kuantan,” katanya.

Beliau dalam ucapan tersebut turut menyatakan Kerajaan Pahang juga akan memberikan tumpuan kepada tiga kawasan Taman Perindustrian iaitu Tanjung Agas Maritime Park, Gambang Halal Park dan Pahang Technology Park.

“Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang bersama-sama dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur sedang giat melakukan promosi melalui lawatan, forum dan trade missions untuk menarik pelabur tempatan dan pelabur asing untuk melabur di kawasan perindustrian yang terlibat. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 265 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: