Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menunjukkan Buku Belanjawan 2021 Negeri Pahang sebelum dibentangkan pada Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

BELANJAWAN 2021 NEGERI PAHANG: BANTUAN KHAS RM1,000 KEPADA PENJAWAT AWAM PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 kepada 8,000 penjawat awam tanpa pengecualian gred dalam pembentangan Belanjawan 2021 Negeri Pahang.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi bantuan yang pembayarannya akan dibuat sebelum 16 Januari tahun hadapan.

“Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,000 kepada kesemua kakitangan kerajaan tanpa pengecualian gred kerana setiap inci kejayaan yang kita rasai hari ini adalah hasil usaha padu kita semua.

“Pemberian Bantuan Khas Kewangan ini bertambah berbanding dengan tahun lepas yang berjumlah RM750,” katanya ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2021 Kerajaan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau dalam ucapan tersebut turut menjangkakan kutipan hasil negeri pada tahun hadapan adalah sebanyak RM800.798 juta iaitu peningkatan 7.6 peratus berbanding anggaran bagi tahun ini.

“Kutipan hasil tahun 2021 dijangka diperolehi daripada hasil tanah sebanyak RM452.285 juta, hasil perhutanan sebanyak RM165.495 juta, dan hasil air sebanyak RM15.250 juta, Geran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM94.2 juta, dan lain-lain hasil sebanyak RM73.568 juta ringgit.

“Belanjawan 2021 menganggarkan kutipan hasil negeri sebanyak RM800.798 juta, manakala Perbelanjaan Mengurus pula dijangka sebanyak RM795.466 juta, dengan lebihan sebanyak RM5.332 juta,” katanya.

Tambah beliau lagi, anggaran perbelanjaan mengurus negeri bagi tahun hadapan telah meningkat sebanyak 7.5 peratus manakala anggaran perbelanjaan bagi meningkat sebanyak 67 peratus berbanding tahun ini.

“Demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, Belanjawan 2021 akan menyediakan peruntukan berjumlah RM795.466 juta bagi Perbelanjaan Mengurus yang merangkumi perbelanjaan Emolumen, Perkhidmatan dan Bekalan, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, Perbelanjaan Lain dan Aset. Anggaran Perbelanjaan Mengurus untuk tahun 2021 telah meningkat sebanyak RM55.573 juta atau 7.5 peratus berbanding tahun 2020.

“Manakala bagi Perbelanjaan Pembangunan, peruntukan adalah sebanyak RM201.915 juta. Ia akan melibatkan projek infrastruktur sejumlah RM109.415 juta dengan pembiayaan cara langsung, manakala RM92.5 juta adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air.

“Secara keseluruhan, anggaran Perbelanjaan Pembangunan untuk tahun 2021 telah meningkat sebanyak 81.165 juta ringgit atau 67 peratus berbanding tahun 2020,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,698 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download