Sesi Focus Group Bersama Industri Pertanian ini dipengerusikan oleh Menteri Kewangan, YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz dianjurkan secara bersama antara Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Pahang dan ECERDC yang berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan, hari ini.

BELANJAWAN 2021 MEMFOKUS KECUKUPAN BEKALAN MAKANAN NEGARA

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 25 OGOS 2020 : Kerajaan memfokuskan kecukupan bekalan makanan negara oleh sektor pertanian dalam merangka belanjawan 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Encik Baidzawi Che Mat berkata sesi dialog pada hari ini bersama penggiat industri pertanian bertujuan bertukar idea diantara pihak kerajaan dan pihak terlibat.

“Sesi Focus Group bersama industri diadakan untuk membolehkan penggiat industri berkongsi idea bagi menyumbang ke arah kecukupan bekalan makanan (food sufficiency) negara menerusi pertanian berskala besar dan komersial yang akan mewujudkan peluang ekonomi dan pelaburan baharu di negeri Pahang.

Sesi Focus Group Bersama Industri Pertanian ini dipengerusikan oleh Menteri Kewangan, YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz dianjurkan secara bersama antara Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Pahang dan ECERDC yang berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan, hari ini.

“Perkongsian bersama penggiat industri ini sangat penting dalam penyediaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sesi Focus Group Bersama Industri Pertanian ini dipengerusikan oleh Menteri Kewangan, YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz dianjurkan secara bersama antara Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Pahang dan ECERDC.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak.

Beliau berkata antara strategi utama dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) adalah dengan memperkenalkan penggunaan Model Syarikat Induk bagi perusahaan perniagaan tani komersial berskala besar.

“Pelaksanaan Model Syarikat Induk adalah game-changer untuk sektor pertanian di ECER. Melalui model ini, Kerajaan menerusi ECERDC melabur dalam infrastruktur yang diperlukan.

Melalui dialog hari ini serta sokongan daripada pihak Kerajaan, kita mampu meningkatkan potensi ekonomi dan membantu menarik lebih banyak pelaburan dan aktiviti perdagangan untuk sektor-sektor ini di negeri Pahang,” katanya.

Menurut beliau lagi, syarikat dan pakar yang berkelayakan daripada sektor swasta juga akan dilantik untuk menguruskan projek perniagaan tani dan melabur dalam teknologi yang diperlukan.

“Model Perniagaan Syarikat Induk yang menjadi asas kepada kluster perniagaan tani ECERDC telah membuktikan kejayaan kerjasama awam swasta, mentransformasi industri pertanian, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Pendekatan ini akan melonjakkan ekonomi di Pahang dengan menarik pelaburan swasta, sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang untuk menjana pendapatan kepada masyarakat setempat di samping meningkatkan jaminan keselamatan makanan negara,” katanya.

Tambah beliau lagi kepentingan industri pertanian dalam menjamin keselamatan makanan negara berada pada tahap mencukupi lebih menyerlah setelah pandemik COVID-19 berlaku.

“Dialog bersama penggiat industri pertanian ini adalah amat perlu bagi mengenalpasti strategi-strategi dan langkah seterusnya dalam memastikan penggunaan tanah yang efisien dan kemampanan jangka masa panjang sektor ini di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Sesi yang diadakan hari ini adalah amat bermanfaat dan kami yakin bahawa maklum balas yang dikemukakan akan dipertimbangkan dalam merangka Belanjawan 2021.

“Kami juga akan terus bekerjasama secara dekat dengan penggiat industri dan Kerajaan Negeri untuk memastikan strategi-strategi kami dalam memacu pelaburan dan pertumbuhan sosioekonomi di Wilayah ini adalah selari,” katanya.

Sesi dialog ini telah dihadiri oleh 18 penggiat industri, di mana empat daripadanya adalah syarikat induk ECERDC, iaitu The Holstein Milk Company Sdn Bhd, Rompin Integrated Plantation Industries Sdn Bhd, MHC Cold Storage Sdn Bhd dan CSC Integrated Herbal Farm Sdn Bhd. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download