YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengaminkan doa selepas menziarahi jenazah Allahyarham Dato Sri Dr. Omar Othman.

BANYAK JASA DICURAHKAN ALLAHYARHAM UNTUK NEGERI PAHANG

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN: Pemergian bekas Exco Kerajaan Negeri Pahang, Allahyarham Dato Sri Dr. Omar Othman, kira-kira jam 6.52 pagi tadi merupakan satu kehilangan besar buat negeri ini terutama rakan-rakan rapat beliau.

Mantan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Adnan Yaakob berkata, mereka bukan sahaja rapat sebagai rakan malah turut berhubungan baik dalam politik apabila sama-sama terpilih sebagai calon Barisan Nasional pada tahun 1986.

“Saya berdoa semoga roh Allahyarham dirahmati, diampuni dan diredhai Allah serta ahli keluarga bersabar di atas pemergian ini,” katanya ketika ditemui di Masjid Medan Tok Sira, di sini, hari ini.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Dato’ Abdul Fattah Abdullah menyifatkan terlalu banyak jasa dan pengorbanan yang dicurahkan semasa hayatnya dalam membangunkan kawasan luar bandar khususnya di Daerah Lipis.

“Kebanyakan kemudahan infrastruktur di Daerah Lipis merupakan idea dan hasil usaha beliau bersama beberapa pemimpin yang lain termasuklah beberapa jambatan dan jalan raya yang sedia ada pada hari ini yang dapat memberi kemudahan kepada rakyat setempat,” katanya.

Manakala seorang lagi sahabat Allahyarham yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Maznah Mazlan pula menyifatkan sikap yang peramah dan ceria menjadikan Allahyarham sangat disenangi oleh rakan-rakan termasuklah rakyat.

“Allahyarham seorang yang suka berfalsafah, sindiran menjadikan beliau digemari di kalangan rakan-rakan. Allahyarham juga mempunyai idea tersendiri terutama ketika memegang portfolio pelancongan,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Rompin, Dato’ Sri Hasan Arifin, beliau telah mengenali Allahyarham lebih 30 tahun dan kagum dengan sikap Allahyarham yang suka membantu orang dan memberikan sepenuh komitmen dalam melaksanakan sebarang tugasan.

“Allahyarham banyak membawa pembangunan terutama di Kuala Lipis. Banyak kemudahan di daerah itu merupakan hasil usaha beliau. Kemudahan jambatan yang menghubungkan kawasan-kawasan pedalaman memangkin kepada pembangunan di kawasan terbabit,” katanya.

Seorang sahabat baik Allahyarham dari Daerah Lipis, Leftenan Kolonel Dato’ Thong Kok Sing pula merasa kehilangan seorang sahabat yang sentiasa komited dan bersungguh dalam mencapai matlamat yang direncanakan.

Jenazah Allahyarham Dato’ Sri Dr. Omar disolatkan hampir 500 jemaah dan diimamkan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman di Masjid Medan Tok Sira sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali di sini selepas solat Zohor.

Allahyarham Dato Sri Dr. Omar menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi kanser selepas menjalani pembedahan pada Selasa lalu.

 

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: