Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 19 JUN 2020: Bantuan kewangan sebanyak RM4. 24 juta disalurkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada 38 orang penerima dapat membantu mereka bangkit kembali selepas melalui dugaan ekonomi sepanjang tempoh penularan wabak pandemik COVID-19.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak SKM kerana telah bersama-sama Kerajaan Negeri meringankan beban rakyat.
“Sebanyak tiga jenis bantuan yang disalurkan iaitu Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (T.B.B.K) kepada 24 penerima bernilai RM105,000, Bantuan Geran Pembangunan SKM kepada lapan orang penerima bernilai RM695,000 dan pinjaman melalui Tabung Modal Pusingan TMP-JPK kepada enam penerima bernilai RM3.44 juta.
“Saya berharap pemberian ini dapat melegakan semua ahli koperasi yang terlibat sekaligus meringankan beban yang ditanggung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Cakna Koperasi dan Majlis Penyerahan Mock Cheque Bantuan Kecemasan Pandemik COVID-19 Koperasi Negeri Pahang di Pusat Latihan Felda Chini, di sini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Nazri Ngah, Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Tun Razak, barisan Exco serta pemimpin setempat.
Sementara itu, beliau berharap agar 1,146 buah gerakan koperasi negeri Pahang yang dianggotai 290,684 orang ahli melibatkan RM296.9 juta modal syer dan memiliki aset bernilai lebih RM1.5 billion dapat terus diperkasakan.
“Usaha berterusan SKM akhirnya akan dapat turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi ahli seterusnya kepada ekonomi negeri juga,” katanya.-PAHANGMEDIA