BANJIR DI PAHANG SEMAKIN BURUK, LEBIH 10,000 MANGSA DIPINDAHKAN

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib

KUANTAN, 4 JANUARI 2021: Keadaan banjir di Pahang bertambah buruk apabila jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat secara mendadak kepada 10,467 mangsa membabitkan 3,263 keluarga setakat jam 12 tengah hari ini.

Kesemua mangsa ditempatkan di 198 buah PPS melibatkan sembilan daerah iaitu Kuantan, Temerloh, Maran, Rompin, Jerantut, Raub, Lipis, Bentong dan Pekan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff, melawat mangsa banjir di Pekan.

Berdasarkan laporan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi pemindahan mangsa banjir dengan 3,152 mangsa daripada 850 keluarga dipindahkan ke 35 buah PPS.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak memberi sumbangan makanan dan barangan keperluan kepada mangsa banjir di Benta, Lipis.

Di Maran, seramai 1,858 mangsa daripada 1,027 keluarga dipindahkan ke 36 buah PPS diikuti Raub seramai 1,493 mangsa membabitkan 424 keluarga ditempatkan di 46 PPS dan Jerantut 1,235 mangsa, 267keluarga dan 28 PPS.

Daerah Lipis pula mencatatkan seramai 1,062 mangsa daripada 267 keluarga membabitkan 22 PPS, Temerloh 593 mangsa daripada 155 keluarga ditempatkan di 14 PPS dan di Rompin pula seramai 722 mangsa daripada 190 keluarga ditempatkan di 8 PPS.

Pekan pula mencatatkan seramai 133 mangsa membabikan 29 keluarga ditempatkan di enam PPS manakala di Bentong seramai 219 mangsa daripada 54 keluarga di tiga PPS. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download