KUANTAN, 14 JANUARI 2021: Keadaan banjir di Pahang semakin pulih manakala jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.
Berdasarkan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 2 petang tadi jumlah mangsa ditempatkan di PPS adalah seramai 9,222 orang daripada 2,510 keluarga di 119 PPS di lapan daerah berbanding 11,422 mangsa yang ditempatkan di 126 PPS pada jam 8 pagi tadi.
Sehingga kini, daerah Pekan menunjukkan jumlah mangsa tertinggi yang dipindahkan di PPS dengan iaitu seramai 3,311 orang daripada 930 keluarga yang dipindahkan di 38 PPS, diikuti daerah Maran dengan 2,075 mangsa daripada 599 keluarga dipindahkan di 28 PPS manakala Temerloh dengan 1,618 mangsa daripada 419 keluarga yang dipindahkan di 23 PPS.
Selain itu, daerah Bera mencatatkan 952 mangsa daripada 259 keluarga yang dipindahkan di 16 PPS, diikuti daerah Kuantan dengan 853 mangsa daripada 192 keluarga dipindahkan di sembilan PPS manakala daerah Lipis dengan 353 mangsa daripada 93 keluarga dipindahkan di dua PPS.
Bagi daerah Jerantut pula, seramai 34 mangsa daripada 10 keluarga masih lagi ditempatkan di satu PPS dan daerah Raub pula hanya tinggal 26 mangsa daripada lapan keluarga masih lagi ditempatkan di dua PPS.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan kenyataan amaran cuaca buruk kini hanya tertumpu di kawasan-kawasan di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, jabatan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan sehingga Sabtu ini 16 Januari 2021.
Keadaan ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.-PAHANGMEDIA
632 total views, 9 views today