Foto: FB Dato Abd Aziz Kiram
KUANTAN, 5 DISEMBER 2020: Keadaan banjir di Pahang menunjukkan peningkatan apabila seramai 161 mangsa libatkan 53 keluarga dipindahkan di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah iaitu Raub dan Pekan.
Berdasarkan aplikasi info banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 8 pagi tadi mangsa banjir yang dipindahkan terdiri daripada 58 mangsa lelaki, 58 mangsa wanita, 39 kanak-kanak dan enam bayi.
Di Raub lapan PPS dibuka iaitu di Masjid Kampung Kuala Semantan yang menempatkan 38 mangsa, Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai (42), Dewan Serbaguna Kampung Pia (26), Masjid Kuala Temau (16), Balairaya Kampung Sengkela (12), Sekolah Kebangsaan Tersang (11), Balai UMNO Kampung Batu Talam (6) dan Balairaya Kampung Chenua (5).
Di Pekan pula sebuah PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Seri Terentang yang menempatkan lima mangsa banjir.
Sementara itu, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan bercemar duli berangkat melawat mangsa banjir di PPS Kg Sengkela, PPS Kg Kuala Semantan, PPS Kg Batu Talam, PPS Kg Tersang, PPS Kg Ulu Sungai.
Baginda kemudian turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir untuk meringankan beban mereka.-PAHANGMEDIA