Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin.

BAJET 2021: BANTU PEMAIN INDUSTRI PELANCONGAN

KUANTAN, 7 NOVEMBER 2020: “Saya menyambut baik pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2021 berhubung pembangunan infrastruktur yang sekali gus boleh menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan negara,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin.

Beliau berkata, beliau menyokong peruntukan kerajaan untuk melaksanakan projek Central Spine Road (CSR) melibatkan jajaran baharu dan projek jalan pintasan Cameron Highlands.

Menurutnya, dua projek itu perlu untuk meningkatkan aspek kemudah-sampaian serta memendekkan tempoh perjalanan antara destinasi-destinasi berkenaan.

“Ini sekali gus akan meningkatkan kehadiran pelancong ke destinasi-destinasi berkenaan khususnya Cameron Highlands yang kita sedia maklum sering berdepan masalah kesesakan lalu lintas terutama pada musim cuti sekolah.

“Cuma, apa yang dilihat mendapat rungutan dari rakyat selepas Belanjawan 2021 dibentangkan adalah soal nasib atau survival pemain industri pelancongan yang terjejas ekoran COVID-19,” katanya menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.

YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar berkata, seharusnya dalam Bajet 2021, kerajaan memberikan penekanan kepada membantu pemain industri pelancongan yang rata-ratanya pada ketika ini ‘lumpuh’ kesan penularan pandemik itu.

Beliau yang ambil contoh di Pahang berkata, sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020, industri pelancongan negeri ini dianggarkan mengalami kerugian RM2 bilion apabila kehilangan perbelanjaan pelancong.

Menurutnya, jumlah anggaran kerugian itu bukan sahaja membabitkan sektor perhotelan malah semua sektor dalam industri pelancongan di negeri ini, jika sektor perhotelan sahaja, dianggarkan kerugian yang dialami berjumlah RM500 juta.

“Jadi, kerajaan seharusnya memberikan penekanan kepada membantu pemain industri pelancongan ini bagaimana untuk mereka meneruskan survival mereka dalam keadaan negara masih berdepan penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, antaranya inisiatif yang kerajaan boleh laksanakan adalah seperti pelepasan cukai di mana inisiatif ini antara kaedah untuk merangsang industri pelancongan negara.

“Sebagai contoh, bagi individu yang pergi bercuti lebih dari tiga hari ataupun mereka berbelanja lebih RM3,000 mereka boleh dapat pelepasan cukai,” katanya.

Menurutnya, inisiatif kedua adalah baucar kepada hotel di mana kaedah ini sama seperti kerajaan memberikan baucar seperti baucar buku, pihak hotel juga sewajarnya diberikan baucar dari pihak kerajaan.

“Menerusi cara ini, ia dapat menyelamatkan hotel dari terus hilang pelanggan ekoran COVID-19,” katanya.

Beliau juga berkata, inisiatif seterusnya ialah cuti sekolah di mana musim cuti persekolahan perlu diubah supaya semua sekolah tidak bercuti serentak.

Menurutnya, sebagai contoh, setiap kali musim cuti sekolah hanya tiga atau empat negeri yang bercuti dan ini penting bagi memastikan tidak berlaku limpahan pelancong sekali gus menyebabkan kesesakkan kerana mereka bercuti pada masa yang sama.

“Jika tidak, aktiviti pelancongan domestik hanya akan tertumpu pada cuti hujung minggu atau hari-hari tertentu sahaja dan lebih parah lagi menyebabkan kesesakan melampau sebagai contoh di Cameron Highlands, jika pada cuti hujung minggu kesesakannya tidak boleh diatasi,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif keempat adalah insentif bekerja dari luar atau di Hotel di mana sewaktu PKPB dilaksanakan, kerajaan boleh melaksanakan pemberian insentif kepada kakitangan awam untuk mereka bekerja bukan sahaja di rumah malah di hotel dan ini sekali gus memberi peluang kepada mereka bercuti bersama keluarga.

“Jika ada surat kebenaran dari kerajaan untuk mereka berbuat demikian, sudah tentu ia akan merancakkan sektor perhotelan negara,” katanya.

YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar juga berkata, sebagai rumusannya, dalam keadaan negara masih berdepan penularan wabak Covid-19, pemain industri pelancongan perlu dibantu.

Beliau berkata, sebagai contoh pengusaha bas persiaran yang hilang punca pendapatan sehingga tidak mampu membayar gaji pekerja dan hutang pinjaman yang merujuk kepada komen Dr Mahketab di FB beliau.

Menurutnya, pemandu pelancong yang hilang pendapatan semasa PKPB dan PKPP, tidak ada tabungan KWSP di mana mereka ini amat terkesan dengan COVID-19.

“Jika tiada bantuan dan sokongan yang wajar dalam tempoh 12 bulan ini, industri akan merundum dengan lebih cepat dan drastik.

“Ini tidak boleh dibiarkan berlaku. Sewajarnya pihak kerajaan menilai semula bentuk bantuan dan sokongan terhadap industri pelancongan negara supaya terus dapat menyediakan pekerjaan seterusnya menjana ekonomi negara,” katanya.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: