ADN Bebar, YB. Dato' Haji Mohamad Fakhruddin Mohd Ariff (kiri), ADN Pulau Manis, YB. Dato' Khairuddin Mahmud (tengah) dan ADN Peramu Jaya, YB. Dato' Seri Sh Mohmed Fuzi Sh Ali (kanan).

ARWAH PEGANG PRINSIP ‘TAK PILIH BULU’

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali & Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 7 MEI 2020: Amanah rakyat dijaga dengan begitu sempurna malah sikap ‘tidak pilih bulu’ menjadi pegangannya dalam menjaga kebajikan rakyat terutamanya di kawasan sendiri.

Prinsip itu jugalah yang diajar kepada rakan sejawatan dan juga pemimpin setempat ketika menyantuni permasalahan serta isu yang dihadapi rakyat.

Hal ini diceritakan oleh Ahli Dewan Negeri Pulau Manis, YB. Dato’ Khairudin Mahmud yang akrab dengan arwah berikutan sering berkongsi idea dan pendapat serta banyak melaksanakan program yang sama.

“Saya rasa kehilangan kerana sangat rapat dengan arwah, kami memikul tanggungjawab sama (wakil rakyat). Saya banyak belajar dengan arwah tentang hal berhadapan rakyat.. antara yang paling ingat arwah pesan jangan sesekali pilih bulu.

“Setiap rakyat yang ada dalam kawasan adalah rakyat di bawah jagaan kita..jadi apa sahaja parti dia, pertubuhan dia adalah hak masing-masing. Itu prinsip arwah yang paling terkesan di hati saya,” katanya.

Ketua Pengurus Zon Chini, Encik Misbari Nazir.

Sementara itu, Ketua Pengurus Zon Chini Misbari Nazir yang ditemui berkata, dia bekerja rapat dengan Allahyarham malah ada beberapa perancangan program bersama rakyat di Dewan Negeri Chini yang sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat bersama pada pagi tadi tidak kesampaian.

“Arwah seorang wakil rakyat yang sangat berdedikasi. Dia akan cuba menyelesaikan setiap masalah yang dialami rakyat secepat mungkin dan boleh kata, sebanyak 90 peratus masalah yang diajukan kepada beliau telah berjaya diselesaikan.

“Beliau juga pesan kepada saya agar semua bantuan, sumbangan atau apa sahaja kelebihan sepatutnya dinikmati oleh semua rakyat di kawasannya tanpa mengira pegangan atau fahaman politik mereka,” katanya yang mengakui sukar untuk mencari kualiti mulia sepertinya dalam diri seorang pemimpin.

Bagi YB Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, arwah menjadi contoh terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberi kepadanya.

“Saya mengenali arwah sejak tahun 1990-an ketika saya mula-mula bertanding menjadi wakil rakyat Dewan Negeri Bebar, ketika itu Felda Chini 3 dan sebahagian gugusan Felda Chini berada di bawah Dewan Negeri jagaan saya.

Masa itu arwah sudah aktif dalam Pemuda (UMNO) dan saya nampak sikap, minat dan daya kerjanya yang kuat.

YB Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad.

“Kesungguhannya bekerja kuat, setia pada parti akhirnya membuahkan hasil apabila arwah menjadi calon dan memikul amanah sebagai wakil rakyat Dewan Negeri Chini sampailah penggal keempat sekarang (sejak PRU-11),” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan, Shahrim Md Zain berkata arwah banyak membantu anak muda di kawasan Felda termasuk memimpin NGO belia.

“Saya banyak belajar daripada arwah, bak kata kepimpinan melalui teladan. Arwah mudah mendekati dan membantu masyarakat. Jadi itulah yang saya lakukan apabila memegang jawatan ketua.

“Jasanya yang sentiasa peka dan bersedia menbantu orang lain terutamanya anak muda yang memerlukan perhatian serta bimbingan yang betul akan sentiasa kami kenang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: