Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 09 JANUARI 2021: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memandang ringan ancaman akibat banjir bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.
Mantan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Sri Najib Tun Razak berkata, ini berikutan berlakunya pertambahan jumlah kematian akibat banjir yang direkodkan di negeri ini.

“Kita tak boleh pandang ringan kepada ancaman banjir ini, sebab sesetengah tempat yang saya lawati, air memang dalam dan deras.
“Jadi kalau kita terjatuh atau kita main-main dalam air, boleh menyebabkan berlakunya musibah yang tak diingini, jadi sebaik-baiknya kita hendaklah mengelak daripada mengambil apa-apa risiko dan ikutlah nasihat dan panduan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) semasa menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Mentiga, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; ADN Chini, YB. Mohd Sharim Haji Md. Zain.
Beliau juga berpuas hati dengan pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka selain pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baik.
“Saya lihat bahawa pengurusan PPS amat baik dan tersusun dan semua mangsa banjir cukup bekalan makanan.
“Dan antara tujuan saya melawat hari ini, adalah untuk menambah lagi sumbangan-sumbangan kepada mereka, supaya mereka berada di dalam keadaan yang lebih selesa.
“Saya lihat SOP juga dipatuhi. Ada khemah kecil yang disumbangkan oleh NADMA diguna di PPS dan ini bererti bahawa ada penjarakkan dalam PPS,” katanya.
Sebanyak tiga buah PPS iaitu PPS Sk Temai, PPS Kampung Padang Rumbia, PPS Kampung Tanjung Lepar dan tiga buah rumah telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas dan barang makanan hari ini.
Daerah Pekan merekodkan 1,968 mangsa banjir yang ditempatkan di 31 PPS berikutan banjir yang melanda dan keadaan banjir di kawasan ini juga menunjukkan trend menaik setakat ini. -PAHANGMEDIA