KUALA LIPIS, 08 JANUARI 2021: Mayat remaja wanita yang dipercayai lemas selepas dilaporkan hilang apabila bot yang dinaiki bersama tiga lagi ahli keluarga terbalik di Sungai Jelai, Kampung Bertang, di sini.
Mayat ditemui kira-kira 11 kilometer dari lokasi kejadian di Kuala Sungai Tanum berhampiran Jambatan Keretapi Bukit Betong, pada jam 11 pagi tadi, selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Azli Mohd Noor berkata, mayat Nur Zakirah Ahmad Hussin, 19, ditemui penduduk kampung di Kuala Sungai Tanum berhampiran Jambatan Keretapi Bukit Betong.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada 4 Januari lalu pada jam 12 tengahari, Nur Zakirah dilaporkan hilang bersama ibunya, Rozi Omar, 52, selepas bot dikemudi ayahnya, Ahmad Hussin Mad Aris, 52, terbalik akibat arus deras ketika mereka menuju ke Kampung Bertang, bagi meninjau keadaan rumah mereka yang dilanda banjir.
Bot berkenaan bagaimanapun karam menyebabkan Nur Zakirah bersama ibunya, Rozi dihanyut arus.
Bagaimanapun, mayat ibunya telah ditemui tersangkut di celah pokok pisang, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian pada 9.45 pagi 5 Januari lalu.
Ahmad Hussin bersama seorang lagi anaknya, Nur Aina Ahmad Husin, 23, berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut. – PAHANGMEDIA