Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 7 JANUARI 2021: Sukarelawan di negeri ini mula bergerak aktif menjalankan misi kemanusian susulan bencana banjir yang berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.
Ada yang memberi bantuan kemanusiaan seperti memindahkan penduduk ke kawasan selamat dan membersihkan rumah-rumah yang terjejas selain menghantar barang keperluan asas kepada mangsa banjir.
Begitu juga Banjero Squad iaitu sebuah badan sukarelawan yang mula mengumpul pelbagai barangan daripada orang ramai untul disalurkan kepada mangsa banjir di seluruh Pahang
Menurut Penyelaras Banjero Squad, Mohd Azraie Azahari, Banjero Squad Base yang terletak di hadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini telah dibuka mulai hari ini.
“Justeru orang ramai boleh menghantar pelbagai barangan antaranya seperti air mineral botol kecil, tuala wanita, seluar dalam wanita, susu bayi, pakai buang, makanan kering, beras, kopi, sardin, mi segera, panadol, minyak angin dan pakaian terpakai (wajib diasing).
“Kita buka kuanter penghantaran setiap hari dan diboleh dihantar secara pandu lalu kerana perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.
Katanya lagi, pihaknya menyasarkan sebanyak lima tan barangan setiap hari dihantar oleh orang ramai berdasarkan pengalaman mereka pada tahun 2014.

“Untuk permulaan ini kita akan menghantar barangan ini kepada mangsa yang berada di Daerah Maran di mana banjir telah surut menyebabkan mangsa memerlukan barang untuk memulakan kehidupan mereka.
“Selepas itu kita akan pergi ke daerah-daerah lain. Setakat ini kita ada kira-kira 30 sukarelawan yang bersedia membantu bila diperlukan,” katanya. – PAHANGMEDIA