Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 6 JANUARI 2021: Sebuah klinik kesihatan sementara di Kampung Padang Rumbia di sini telah beroperasi bermula hari ini bagi menggantikan sementara klinik kesihatan sedia ada yang dilanda banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, klinik sementara yang dibina di sebuat lot kedai kosong itu membolehkan penduduk sekitar mendapat rawatan kesihatan mereka.

“Sejurus mendapat maklumat klinik kesihatan ini dilanda banjir, saya telah berbincang dengan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, Penghulu dan Ketua Kampung bagi memastikan segala urusan menyiapkan klinik sementara ini berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas diberi taklimat oleh Pembantu Perubatan Perawatan Kesihatan Klinik Kesihatan Kampung Padang Rumbia, En. Mohd Robian Abdul Basik berkenaan kerja-kerja menyiapkan segera klinik sementara ini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memberi air bersih kepada penduduk di Kampung Padang Rumbia terutama kepada mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Komuniti Bersepadu beliau juga telah berbincang bersama pihak PAIP Pekan untuk menghantar tangki ke situ.

“Alhamdulillah, dua tangki air bersih telah disediakan bersebelahan pusat komuniti itu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, Pejabat Kesihatan Pekan, PAIP Pekan, Penghulu, Ketua Kampung dan semua kepimpinan yang bekerja keras ketika kita sedang menghadapi ujian banjir kali ini.
“Sebagai Ahli Dewan Negeri Bebar saya berasa amat bersyukur dengan segala kerjasama yang diterima dan tindakan pantas yang diambil pihak bertanggungjawab, tahniah semua,” katanya. – PAHANGMEDIA