Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 6 JANUARI 2021: “Rasa sangat selesa tinggal di sini walaupun terpaksa mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS),” itu luah seorang mangsa banjir, Rosnini Mamat, 52, yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang.
Menurut ibu tunggal kepada dua orang anak itu, pada masa ini khemah kubikel yang diletakkan di dalam bilik darjah untuk mangsa banjir hanya tiga buah berbanding sebelum ini enam buah khemah.

“Jadi memang selesa bagi saya sekeluarga kerana tidak perlu berhimpit-himpit dengan ramai orang.
“Saya setiap tahun perlu berpindah ke PPS kerana rumah sering dinaiki air… Tetapi saya lihat pada tahun ini lebih berbeza dan saya amat berpuas hati dengan layanan di PPS ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.
Sebelum itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli berangkat melawat mangsa banjir di PPS SK Kempadang hari ini.

Turut bercemar duli, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Asmaliza Ku Lah.
Bagi Aniza Adam, 48, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS kini tidak lagi perlu makan di dewan makan sebaliknya makanan akan dihantar ke khemah masing-masing.
“Memang mudahlah bagi saya yang mempunyai penyakit kencing manis dan agak sukar untuk berjalan. Makan pula empat kali sehari… Memang mencukupi, terima kasih kepada pihak yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shaharul Farizal Abdul Manaf, 51, berkata, beliau amat bersyukur dengan bantuan dari pelbagai pihak terdiri daripada kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan-badan sukarela yang sentiasa menghulur bantuan.
“Bantuan dari segi makanan tidak putus-putus kami terima…kami amat bersyukur. Bantuan yang dihulur badan kerajaan mahupun swasta begitu efisien,” katanya. – PAHANGMEDIA