Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 JANUARI 2021: Dua beranak dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki untuk pulang ke rumah mereka terbalik di Lipis, kira-kira 12 tengah hari, hari ini.
Kedua-dua mangsa yang merupakan ibu dan anak itu dikatakan mahu pulang untuk melihat keadaan rumah mereka yang dinaiki air.
Kedua-dua mangsa, Rozi Omar, 52, dan Zakirah Ahmad Husin, 19, dari Kampung Bertang, Mukim Ulu Jelai terjatuh selepas bot yang dinaiki karam.
Mereka dipercayai menaiki bot bersama Ahmad Husin Mad Aris, 52, dan Nur Aina Ahmad Husin, 23, yang terselamat dalam kejadian tersebut.
Kawasan tempat kejadian berhampiran jambatan gantung Kampung Bertang, di Sungai Jelai dengan keadaan paras air tinggi ketika kejadian dan arus sungai deras.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor mengesahkan kejadian tersebut dan operasi mencari sedang dijalankan. – PAHANGMEDIA