Oleh : Fansurina Abdullah
LIPIS, 23 NOVEMBER 2020 : Pembinaan Pejabat Daerah Kecil Jelai di kawasan Bukit Betong di sini bertujuan bagi memudahkan urusan penduduk setempat khususnya di kawasan luar bandar tanpa perlu berulang-alik ke bandar Lipis yang agak jauh dari kampung masing-masing.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Pahang memperuntukkan RM10 juta bagi pembinaan pejabat daerah kecil itu yang bakal memberikan kemudahan kepada penduduk di Kampung Kuala Medang, Tanjung Gahai, Bertang dan Lubuk Kulit.
“Jadi dengan adanya pejabat daerah kecil ini, pihak kerajaan akan memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat supaya dapat memudahkan mereka berurusan dengan pejabat daerah tanpa pergi ke pejabat daerah di Daerah Lipis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Cakna Tok Wan di Dewan UMNO Bahagian Cameron Highlands, Sungai Koyan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, pembinaan pejabat daerah kecil itu juga dapat memberi sumbangan kutipan cukai kepada pihak kerajaan apabila kadar kutipan cukai di kawasan terbabit melebihi sasaran kutipan kepada RM39,174.
Pejabat Daerah Kecil Jelai itu bakal memberikan kemudahan kepada tiga mukim di daerah Lipis iaitu Mukim Ulu Jelai, Mukim Batu Yon dan Mukim Telang dengan seramai 11,231 pemilik tanah melibatkan bayaran cukai tanah berjumlah RM2.19 juta.

Kewujudan pejabat daerah ini dilihat sangat perlu apabila daerah Lipis merupakan daerah yang luas dengan 538,272 hektar dengan 10 mukim dan seramai 44,637 pemilik tanah.
Jumlah yang besar itu, memerlukan pengwujudan pejabat tersebut bagi membantu urus tadbir di kawasan sekitar. – PAHANGMEDIA