Oleh : Fansurina Abdullah
BUKIT TINGGI, 22 NOVEMBER 2020 : Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Pahang perlu mewujudkan perhubungan yang baik dengan masyarakat sekitar khususnya di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hubungan yang baik perlu diwujudkan dan ditingkatkan supaya dapat menjalankan tugas membantu masyarakat khususnya golongan yang memerlukan.
Katanya, peranan sebagai NGO bukan sekadar menyalurkan bantuan ketika diperlukan, tetapi juga bertanggungjawab dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada masayrakat dalam pelbagai aspek terutama ketika berhadapan dengan sebarang bencana.
“Selain memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menghadapi bencana dan sebagainya, NGO juga perlu membantu kerajaan dalam menyampaikan sebarang maklumat berhubung tanggungjawab mereka terhadap negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pemantapan dan Pengiktirafan NGO kebajikan Berprestasi Tinggi Negeri Pahang Darul Makmur di Colmar Tropicale, di sini, malam tadi.
Hadir sama ialah barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Pengarah JKM Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua NGO tidak boleh berada di dalam zon selesa dan perlu sentiasa memikirkan usaha untuk mempertingkatkan dan memperbaiki perkhidmatan kepada masyarakat.
“NGO perlu bersikap progresif dan dinamik supaya setanding dengan perubahan sekitar kerana bencana dan musibah sentiasa berubah-ubah, justeru NGO perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Program tersebut merupakan penghargaan dan pengiktirafan kepada semua NGO di Pahang yang bertindak sebagai barisan hadapan dalam membantu pihak kerajaan ketika negara dilanda wabak pandemik COVID-19 sejak Februari lalu.
Sehingga November 2020, Pahang mempunyai seramai 140 NGO kebajikan dengan 12,000 sukarelawan sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri bagi membantu masyarakat dan komuniti melalui medium NGO Kebajikan. – PAHANGMEDIA