Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2020: Jumlah kawasan yang telah diwartakan sebagai Kawasan Tadahan Air di Negeri Pahang adalah seluas 258,951.88 hektar iaitu kira-kira 7.2 peratus daripada keluasan tanah negeri.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi Kawasan Tadahan Air di Dewan Negeri (DN) Tanah pula adalah melibatkan Hutan Simpan Gunung Ais iaitu seluas 15,515 hektar.
“Kerajaan Negeri sememangnya sentiasa memikirkan dan mengambil berat hutan simpan di Pahang sebab itu kita ingin pertahankan kawasan hutan yang sehingga kini berkeluasan 57 peratus daripada keluasan tanah negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS) mengenai kawasan yang diwartakan sebagai kawasan tadahan air pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Menjawab soalan tambahan daripada YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad, beliau berkata, untuk tujuan itu juga, di dalam Belanjawan 2021 Negeri Pahang pihaknya ada mengumumkan untuk mewartakan Lubuk yu di Maran sebagai kawasan Taman Negeri.
“InsyaAllah akan ada tempat-tempat lain yang kita akan wartawakan tetapi untuk melaksanakan ia akan mengambil masa.
“Tetapi usaha untuk tingkatkan tadahan air ini akan terus ditingkatkan lagi dari semasa ke semasa,” katanta. – PAHANGMEDIA
Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 04 NOVEMBER 2020: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian yang cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menyewa rumah di kawasan perumahan elit yang berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan di Taman Pelindung di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 9.30 malam oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Kuantan.

“Hasil serbuan itu, polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 21 tahun sehingga 27 tahun. Kita turut merampas sembilan buah set komputer dan 30 buah telefon bimbit yang digunakan oleh sindiket berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas memotong bekalan elektrik di kediaman berkenan hari ini.
Menurut beliau lagi, siasatan awal pihak polis mendapati rumah yang disewa dengan kadar RM4,000 sebulan ini dijadikan tempat untuk menjalankan aktiviti pengiklanan serta mempromosikan kegiatan perjudian secara dalam talian.
“Sindiket ini juga mempromosikan kegiatan perjudian melalui media sosial seperti Facebook, Telegram, WhatsApp, WeChat dan MiChat di mana mereka mempunyai sistem yang dapat menyebarkan iklan yang mengandungi pautan judi sejauh satu kilometer daripada rumah tersebut.

“Telefon bimbit digunakan sebagai cara menambah nilai bagi pelanggan mereka menggunakan perbankan internet. Aplikasi perjudian yang digunakan ialah Mega 888, 918Kiss, Pussy 888 dan Xe088. Mereka yang ditahan dibayar gaji sekitar RM2,000 sebulan bagi menguruskan operasi tanpa henti selama 24 jam secara giliran.
“Tiada duit yang dirampas ketika serbuan dijalankan namun melalui semakan pada sistem menunjukkan sindiket ini memperoleh kutipan sebanyak RM4,000 sehingga RM7,000 sehari,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 6 November ini. – PAHANGMEDIA