Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Mohd Mahathir Mohd Ali
KUANTAN, 18 NOVEMBER 2020: Pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Negeri Pahang memperuntukan sejumlah RM500,000 bagi projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) untuk pembinaan jalan asas di Rancangan Tanah Kelompok (RTK) di seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata, semua Pejabat Daerah dan Tanah yang terlibat boleh mengemukakan permohonan berkenaan kepada Pejabat KPLB Negeri Pahang dan juga agensi-agensi lain yang berkaitan.
“Peruntukan yang disediakan bagi satu-satu projek adalah tidak melebihi RM500,000. Bagaimanapun sebarang pertimbangan dan kelulusan permohonan adalah tertakluk kepada kementerian dan juga susunan keutamaan perlaksanaan projek berkenaan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta pemimpin tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS), berhubung pembinaan jalan ke RTK Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
KPLB melalui JPD menyediakan kemudahan asas jalan raya berturap dan tidak berturap di kawasan luar bandar termasuk pembinaan jalan ke RTK bagi tujuan pembinaan rumah. – PAHANGMEDIA