Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Mahathir Ali
KUANTAN, 11 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang menyampaikan bantuan sebanyak RM140,000 kepada 99 orang mangsa ribut di Indera Mahkota 2 di sini baru-baru ini.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan ini melibatkan bantuan sebanyak RM2,000 dan RM1,000 setiap penerima bergantung kepada tahap kerosakan rumah mereka.
“Seramai 41 orang menerima RM2,000 setiap seorang di bawah kategori rumah yang rosak teruk manakala 58 orang lagi menerima RM1,000 setiap seorang di bawah kategori rumah rosak minima.
“Sungguh pun sumbangan ini tidak dapat membantu sepenuhnya mereka yang terjejas namun ia diharapkan dapat meringankan sedikit beban yang mereka hadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Kepada Mangsa Ribut Indera Mahkota 2, di Dewan Yew Hong, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin; Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah; dan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), YH. Dato’ Hamdan Hussin.
Beliau berkata, Kerajaan Pahang sangat memahami kesukaran dan kesusahan yang menimpa penduduk yang terlibat.
“Oleh sebab itu bantuan awal telah dihulurkan pada malam kejadian sendiri iaitu pada 29 dan 30 Oktober lepas melalui JKM yang memberi barangan keperluan kepada penduduk,” katanya.
Sementara itu, Jaafar Mamat, 68, yang rumahnya mengalami kerosakan pada atap rumah dalam kejadian tersebut merasa sangat bersyukur dengan sumbangan yang diterima.
”Saya mengucapkan terima kasih dan bersyukur kepada Kerajaan Negeri yang prihatin dengan kejadian yang menimpa kami.
“Saya bercadang untuk menggantikan barangan rumah yang rosak dalam kejadian ribut itu dengan duit yang diberikan oleh Kerajaan Negeri ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Negeri Pahang (UKOMP) selepas majlis tersebut. -PAHANGMEDIA