Oleh: Fansurina Abdullah
KUANTAN, 9 NOVEMBER 2020: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang mengagihkan satu juta tan barangan kering ke Kampung Gusai, Kampung Bantal dan Kampung Mat Daling di Jerantut.
Pengarah JKM Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin berkata, Daerah Jerantut mempunyai sebanyak 13 pangkalan hadapan dengan kapasiti mangsa seramai 10,155 orang.
Katanya, daerah Jerantut menerima bantuan barangan kering sebanyak 26 tan dan agihan bermula 7 November dan 14 November.
“Jentera JKM sudah bersiap sedia dari segi agihan dan kesemua 118 pangkalan hadapan akan menerima lebih satu juta tan barangan kering termasuklah beras, minyak masak, sardin, garam, gula, kopi, uncang teh dan biskut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Pengagihan barangan kering di Ulu Tembeling, telah diadakan semalam dan disampaikan oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Negeri Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang , YH. Dato’ Zakaria Ibrahim dan barisan kepimpinan daerah.
Pasukan yang terlibat adalah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Jerantut, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat dan JKM.
Pada lawatan kerja Dato’ Sri Dr. Sallehuddin itu turut mengunjungi Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Istana Sri Tembeling.
Pada hari ini, agihan diteruskan ke daerah Temerloh yang mempunyai 26 pangkalan hadapan dengan kapasiti mangsa seramai 5,700 orang.
Pada minggu lalu, Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah merasmikan Pelancaran dan Flag -Off Misi Penghantaran Bekalan Makanan Bencana ke Pangkalan-Pangkalan Hadapan Pahang di Depoh Pasaraya Darul Makmur (PDM), di sini.- PAHANGMEDIA