KUANTAN, 30 OKTOBER 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli menziarahi mangsa bencana akibat ribut di Indera Mahkota 2, di sini hari ini.

Pada lawatan itu, KDYMM Tengku Hassanal berkenan mengurniakan sumbangan daripada Yayasan Al- Sultan Abdullah (YASA) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

KDYMM Tuanku turut bertitah Kerajaan Pahang untuk membantu baik pulih kerosakan rumah mangsa yang akan diselaraskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda.
Dalam kejadian ribut yang berlaku kira-kira jam 8 malam semalam, lebih 75 buah rumah di Lorong 46, 47 dan 48 Indera Mahkota 2 terjejas akibat bahagian atas rumah kesemua mangsa tidak boleh digunakan buat sementara waktu disebabkan atap tercabut dan menyebabkan siling bilik atas basah.

Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah menyalurkan bantuan segera berupa tikar, toto dan bencana kit.-PAHANGMEDIA