Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Mahathir Ali
PEKAN 24 OKTOBER 2020: Fasa pertama kilang kertas di Paloh Hinai dijangka siap Disember ini dan bakal menyediakan peluang pekerjaan untuk anak tempatan terutama dalam kawasan Dewan Negeri (DUN) Chini.
Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, untuk fasa pertama ini sebanyak 160 peluang pekerjaan akan disediakan untuk anak tempatan dan apabila siap sepenuhnya sebanyak 3,000 peluang pekerjaan akan tersedia.

“Projek ini sangat bermakna untuk penduduk di Parlimen Pekan kerana jika siap nanti akan memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada golongan muda malah peneroka itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ahli Parlimen Pekan Bersama Kepimpinan Masyarakat Dewan Negeri Chini di Dewan Semai Bakti Chini 3 di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Md Zain.
Pada 19 Jun lalu, kilang ini dikunjungi oleh YB Dato’ Sri Mohd Najib, diringi Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada lawatan itu, kedua-duanya turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kilang ini dengan Koperasi Permodalan FELDA (KPF).

Sementara itu, YB. Encik Mohd Sharim berkata, beliau akan memastikan permohonan kerja yang dibuat oleh penduduk dari Chini akan diterima masuk bekerja di kilang berkenaan.
“Jika ada pemohonan daripada penduduk Chini yang tidak layak kerana kelayakan kita akan hantar mereka ke pusat kemahiran untuk memastikan mereka mendapat kerja,” katanya. – PAHANGMEDIA