Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 September 2020 : Kerajaan Negeri Pahang memperkasakan pendidikan Islam di negeri ini bagi memastikan lebih ramai pelajar cemerlang di dalam akademik dan pendidikan agama dapat dilahirkan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan sentiasa komited terhadap usaha pembangunan sekolah-sekolah agama di negeri Pahang.
Katanya, kerajaan telah meluluskan pelbagai bentuk bantuan kepada semua sekolah agama di negeri ini bagi memastikan keperluan pendidikan tidak diabaikan.

“Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan kebajikan pendidikan khususnya pendidikan agama terjaga dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam di negeri ini.
“Malah, kerajaan turut membantu sekolah tahfiz dan pondok di negeri ini namun pihak kerajaan memerlukan sokongan dan dukungan daripada semua pihak sekolah tahfiz dan pondok supaya pembangunan dapat diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Kali Ke-19 Tahun 2020 Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang di Gambang Resort, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Mufti Pahang, Sahibus Samahah Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman; Ahli Dewan Negeri (ADN) Lepar, YB. Dato’ Rahim Muda, ADN Sungai Lembing, YB. Dato’ Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah dan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Haji Zakaria Mohamad.
Pada majlis itu seramai 399 pelajar dan 95 guru daripada 18 sekolah menengah agama kerajaan Pahang telah menerima pelbagai anugerah di dalam berbagai kategori.
Dua guru cemerlang turut menerima Anugerah Tokoh Guru iaitu Ustaz Yusof Sulaiman dan Ustazah Siti Hasenah Mohd Yusof.

Majlis anugerah kecemerlangan itu diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap warga pelajar dan pendidik yang berusaha melahirkan pelajar terbaik khususnya dalam bidang agama Islam di negeri ini.
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim turut menasihati ibu bapa agar terus komited dalam memastikan pendidikan anak-anak terjaga kerana golongan pelajar ini merupakan perintis kepada masa hadapan negara. – PAHANGMEDIA