Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 21 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang bercadang akan membina rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang berkonsepkan teres menggantikan rumah jenis berkembar dua yang dibina kini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, konsep teres bagi rumah PR1MA Pahang ini juga bagi menampung permintaan tinggi rakyat di negeri ini untuk memiliki kediaman sendiri.
“Tahun depan kita nak tambahkan kuantiti sebagai contohnya kalau kita tengok rumah PR1MA Pahang, dia macam banglo, bukan berkembar. Oleh sebab permintaanya (rumah PR1MA) terlalu ramai, tanah semakin kecil, kita akan buat rumah teres PR1MA Pahang.
“Tujuannya supaya lebih ramai lagi orang mendapat rumah kerana saya mendapat maklum balas yang penting dapat rumah, tak perlu sangat rumah berkembar macam ni, jadi ramai yang dapat (rumah),” katanya.
Beliau berkata pembinaan berkonsepkan teres ini juga dapat menyeimbangkan kos pembinaan rumah yang kian meningkat dengan kos penjualan masih kekal sama.
“Kita tidak naikkan kos membeli rumah sebab kos kenakan barang-barang. Dan setelah kita kaji, kita teliti, bahawa memang ada kebenaran untuk kita buat rumah teres PR1MA, dan kita akan laksanakannya.

“Saya dah minta Lembaga Perumahan (LPHP), dan rakan exco, untuk meneliti, tengok track rekod pemaju kerana kita tidak mahu projek ini terbengkalai kerana yang ruginya rakyat. Setakat ni kita dapat kurangkan (projek terbengkalai) dan kita akan kurangkan lagi daripada semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat bahawa inisiatif Kerajaan Negeri Pahang dilaksanakan secara berterusan bukan sahaja dari segi pembinaan kediaman malah meliputi kebajikan lain kepada rakyat di negeri ini.
“Suka saya mengingatkan bahawa ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri Pahang yang berterusan. Kita bukan sahaja memberi rumah, menyediakan perumahan, tapi dalam masa yang sama, kebajikan-kebajikan yang lain kita akan teruskan.
“Dan saya sangat berharap supaya kita terus menjaga kestabilan politik di Negeri Pahang ini supaya pihak kerajaan boleh merancang ke arah yang lebih baik lagi untuk kesejahteraan rakyat di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Rumah PR1MA Pahang Sanggang, Pelancaran PR1MA Pahang Pamah Kaseh dan Kampung Sempadan, serta Pelancaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 6 di Tapak PR1MA Pahang Sanggang.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), YH. Dato’ Ahmad Islanizam A. Halim. -PAHANGMEDIA

