Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 17 SEPT 2020 : Menyifatkan penerimaan kunci rumah hari ini sebagai rezeki anak-anak, Khairul Nizam Muhammad, salah seorang penerima Rumah Kolek Makmur Sejahtera tidak dapat menyembunyikan perasaan terharunya.
Khairul Nizam, 27, berkata dia memohon rumah ini sejak 2016 lagi dan tidak menyangka menjadi salah seorang daripada pemilik 50 unit rumah yang dibina.
“Saya memang tak sangka, bersyukur sangat dapat rumah ini kerana ini rezeki saya dan anak-anak.

“Saya mohon rumah ini pada 2016 sebagai cara ikhtiar saja kerana saya tinggal bersama keluarga lain di rumah nenek di sini,” katanya yang bekerja sebagai buruh di Bukit Sagu.
Dia yang kelihatan teruja juga memberitahu akan berpindah masuk ke rumah baharu dalam masa yang terdekat selepas selesai proses berkaitan.
“Kita rancang nak masuk rumah ni dalam masa terdekat. Selepas selesai proses masuk bekalan air dan elektrik.
“Sementara itu, kita pun nak bersihkan dulu rumah, beli sedikit peralatan untuk berpindah ke rumah baharu,” katanya.
Seorang lagi penerima, Zulaikha Auni Zulkifli,28, turut melahirkan rasa syukur setelah menerima kunci rumah hari ini.

“Alhamdulillah rasa sangat bersyukur terima kunci rumah yang dah ditunggu-tunggu sejak 2017 lagi.
“Tambah lagi bila tengok penerima lain pun orang Sungai Lembing juga, orang-orang kita kenal. Jadi rasa senang nak berjiran,” katanya yang merupakan anak Kampung Sungai Kolek.
Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kolek Makmur Sejahtera ini disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian (Bahagian Perumahan), YH. Dato’ Azlan Mohd Yaman; Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Haji Md. Sohaimi Mohamed Shah.
Rumah ini dahulunya dibina dengan nama My Beautiful Neighbourhood (MyBN) adalah projek bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dengan kos binaan rumah adalah sebanyak RM40,000 dan dijual kepada penerima dengan harga RM20,000 seunit. – PAHANGMEDIA