Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 3 SEPTEMBER 2020: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang akan mengambil tindakan lebih tegas kepada peniaga yang tidak mengendali barangan basah mengikut piawaian yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, pihak kesihatan telah melakukan pemantauan secara berkala dan mendapati masih ada yang cuai dalam mengendali barangan basah di pasar.

“Mulai tahun depan kita merancang akan mula beralih daripada fasa Pendidikan dan peringatan ini kepada penguatkuasaan secara berperingkat dan ia memerlukan kerjasam semua pihak.
“Kita faham ia akan melibatkan kos (contohnya penyediaan air batu bagi ikan, ayam) namun kerjasama semua pihak terlibat seperti nelayan yang bawa hasil, pemborong sampailah kepada peruncit dan pemilik premis jualan amat perlu bagi menjaga kualiti dan keselamatan barang makanan yang disediakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020 bersama Pelancaran Garis Panduan Pengiklanan Makanan di Pasar Sejahtera, Beserah di sini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Puan Noorhaliza Asari dan Setiausaha Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato’ Hamiza Hamzah.
Sementara itu, Dato’ Sri Norolazali turut berkongsi data mengenai kes pengabaian keselamatan makanan hasil pemantauan yang dilakukan oleh pihak kesihatan.

“Mengikut data yang diterima pada tahun 2018, terdapat enam kes berkaitan penemuan histamine (biogenic amine semulajadi dalam badan manusia yang boleh memberikan kesan alergik) pada bahan mentah yang dijual manakala 16 kes dicatatkan pada tahun 2019 dan angka sama sehingga September tahun ini.
“Pengendali yang tidak mematuhi boleh dikenakan denda di bawah Peraturan 45 (2) dan jika disabitkan kesalahan boleh dedenda tidak lebih RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun,” katanya. -PAHANGMEDIA