KUANTAN, 2 JULAI 2025 : Pahang antara lima negeri yang merekodkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi kadar pertumbuhan Malaysia iaitu 5.7 peratus pada tahun 2024.
Lima negeri mengatasi pertumbuhan di peringkat nasional didahului oleh Johor yang berkembang 6.4 peratus, Selangor 6.3 peratus, W.P. Kuala Lumpur 6.2 peratus, Pahang 5.7 peratus dan W.P. Labuan 5.4 peratus
Kejayaan ini meletakkan Pahang di tempat teratas bagi negeri-negeri di Pantai Timur bagi kadar pertumbuhan KDNK.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Pahang mencatat pertumbuhan keempat tertinggi di Malaysia pada tahun 2024 dengan kadar pertumbuhan 5.7 peratus.
Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan 4.9 peratus dalam sektor Perkhidmatan, khususnya dalam subsektor Perdagangan borong dan runcit, makanan & minuman dan penginapan sebanyak 5.4 peratus serta subsektor Perkhidmatan lain yang mencatatkan pertumbuhan 6.1 peratus.
“Sektor Pertanian, yang merupakan penyumbang kedua terbesar kepada KDNK negeri ini (22.3%), turut menunjukkan pemulihan kukuh dengan pertumbuhan 8.4 peratus (2023: 1.3%). Prestasi ini dipacu oleh pengeluaran Kelapa sawit yang melonjak daripada penyusutan 5.0 peratus pada tahun 2023 kepada 17.1 peratus,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, menurut kenyataan itu lagi, Penyumbang ketiga terbesar kepada KDNK Malaysia ialah sektor Pertanian,
berkembang 3.1 peratus pada tahun 2024. Prestasi ini dipacu oleh pertumbuhan di Pahang dan Johor, masing-masing 8.4 peratus dan 4.2 peratus. – PAHANGMEDIA

