BENTONG, 21 OGOS 2020 : Tiga wanita maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kuala Lumpur-Gua Musang dekat Lurah Bilut di sini hari ini.

Mangsa yang maut adalah Masitah binti Kassim@Ismail, 54, adiknya, Muslaini, 48, dan Norasmah Ismail, 55.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Anuar Hassan berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.28 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.


“Kejadian kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Proton Exora dengan sebuah lori. Seramai tujuh mangsa dari kereta Proton Exora manakala pemandu lori dilaporkan selamat.
“Bomba terpaksa mengeluarkan mangsa dengan menggunakan ‘rescue tools’, mangsa yang meninggal diserahkan kepada pihak polis manakala mangsa yang mengalami kecederaan diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-PAHANGMEDIA