KUANTAN, 20 OGOS 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassnal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bercemar duli menziarahi mangsa bencana sebuah rumah yang rosak teruk akibat dihempap pokok besar dua hari lalu di Taman Balok Pine di sini, hari ini.

Pada lawatan itu KDYMM Tuanku berkenan mengurniakan sumbangan peribadi Tuanku dan juga sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Baginda Tuanku juga turut mengambil kesempatan meninjau keadaan sekitar dan beramah mesra dengan penduduk di sekitar secara mengejut.


Turut berangkat mengiringi Baginda ialah YAM Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam kejadian pada 18 Ogos lalu kira-kira jam 6 petang itu, mangsa Mohd Azmin Abdul Aziz bersama tiga ahli keluarganya terselamat apabila rumahnya dihempap sebuah pokok sehingga mengakibatkan keseluruhan atap dari bahagian ruang tamu dan dapur rosak.-PAHANGMEDIA