Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 14 Ogos 2020 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli pada Majlis Santapan Hari Raya Aidiladha 2020 Yayasan Pahang, di sini, hari ini.
Baginda tiba di Bangunan Utama Yayasan Pahang tepat jam 5 petang bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan pemimpin barisan hadapan Negeri Pahang.
Majlis santapan Hari Raya Aidiladha itu turut dihadiri kekanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Hajjah Dato’ Aishah Binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad ShahAl-Musta’in Billah.


Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH. Dato’ Sri Abdul Rahman Osman diikuti ucapan aluan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi sebelum persembahan multimedia oleh Yayasan Pahang.

Baginda turut berkenan memotong pulut kuning dan persembahan kek sempena hari keputeraan baginda ke-61 sebelum menerima persembahan cendera kenangan daripada YAB Menteri Besar Pahang.
Pada jam 6 petang, baginda bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat pulang meninggalkan majlis. – PAHANGMEDIA