Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 8 OGOS 2020: Industri kenaf mungkin masih baru kepada masyarakat namun nilai hasil yang mampu dituai boleh mencecah RM5,000 bagi satu hektar tanaman.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tanaman kenaf memakan masa selama empat bulan bagi setiap kali tuaian.
“Jika mereka mempunyai satu ke dua hektar tanaman kenaf, anggaran keuntungan adalah sebanyak RM10,000 hingga RM20,000 jika ditanam sebanyak dua kali setahun.
“Saya berharap lebih ramai yang terlibat dalam tanaman kenaf, setakat ini kenaf banyak ditanam di kawasan Pantai Timur, jadi kita akan perluaskan pula ke kawasan-kawasan lain termasuk Pantai Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Kenaf di Kampung Merchong, di sini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Mad Zaidi Mohd Karli, Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB Tuan Ir. Razali Kassim dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi) Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Tuan Hj Idris Mohd Salleh.
Seramai 543 orang penanam Kenaf menerima bantuan input pertanian melalui pemberian baucar bernilai RM500 bagi setiap hektar tanaman. Sebanyak RM311, 900 telah diperuntukkan bagi kawasan tanaman seluas 623.8 hektar.
Sementara itu, Dato’ Dr Mohd Khairuddin berkata, dalam memastikan nasib golongan pekebun kecil termasuk penanam Kenaf sentiasa terbela, selain bantuan PRE-PERIHATIN pelbagai inisiatif diusahakan seperti penyediaan fasiliti penuaian dan pemprosesan Kenaf yang ditempatkan di kebanyakan negeri termasuk Pahang.

“Pusat Industri Kenaf yang dibangunkan Kerajaan Negeri di Tebu Hitam, Rompin seluas 2.02 hektar merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi membangunkan industri kenaf melalui peningkatan pengeluaran industri berasaskan fiber termasuk sektor pulpa dan kertas.
“Pusat yang dibina melibatkan pelaburan pihak swasta ini mampu memproses 10,000 tan batang kenaf kering setahun meliputi kawasan penanaman sehingga 1,000 hektar.
Saya berharap agar kerjasama strategik seperti ini dapat diteruskan bagi pembangunan industri kenaf sejajar dengan potensinya dan permintaan pasaran domestik mahupun antarabangsa terhadap produk kenaf,” katanya.-PAHANGMEDIA