PKP BUKA PELUANG PARA PENDIDIK APLIKASIKAN PDP GUNA KAEDAH TEKNOLOGI
Oleh : Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 29 JULAI 2020: Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak Mac lalu membuka peluang kepada para pendidik khususnya guru-guru bagi mengaplikasikan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) menggunakan kaedah teknologi.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Puan Hajah Asiah Hamzah berkata, kesemua guru telah lama didedahkan dengan PdP menggunakan teknologi namun tiada ruang untuk mengaplikasikannya.

“Kesemua guru telah lama didedahkan dengan cara mengadakan ‘teleconferencing’, perlaksanaan ‘google classroom’, bagaimanakan hendak mengadakan ‘google meet’.
“Tetapi, walaupun ilmu-ilmu itu telah lama dipelajari, namun keadaan ketika itu tidak mendesak, jadi kita lebih selesa melaksanakan kerja secara konvensional. Apabila keadaan mendesak ketika perlaksanaan PKP baru-baru ini, semua ilmu tersebut dapat dipraktikkan secara optimum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan pada Forum Wacana Fikrah Pahang bertajuk “Bicara
Pendidikan Negeri Pahang” yang berlangsung di Dewan Utama Yayasan Pahang, di sini, semalam.

Antara panel jemputan lain ialah Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Tuan Haji Ab Razak Abu Musa Saari.
Forum itu antara lain mengupas peranan institusi pengajian tinggi dalam menangani isu pembelajaran dan pengajaran pada peringkat tertinggi ketika penularan wabak pandemik Covid-19.
Tuan Haji Ab Razak berkata, kebanyakan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lebih terdedah dengan penggunaan teknologi terkini dan lebih mahir dalam penggunaan aplikasi terbaru.
“Saya kira di peringkat IPTA tidak menjadi masalah untuk melaksanakan pengajian atas talian ini. Walaupun mereka berada di rumah namun dengan adanya aplikasi yang digunakan, mereka dapat belajar sepertimana biasa,” katanya.

Malah, kaedah pembelajaran atas talian ini juga lebih efektif daripada segi penggunaan masa kerana lebih mudah dan dapat dilaksanakan di mana sahaja.
Namun beliau berkata, situasi terkini yang memaksa semua pihak menggunapakai teknologi dan aplikasi teknologi yang sudah lama tersedia.
Forum tersebut dihadiri lebih 100 tetamu terdiri daripada pegawai dan kakitangan JPNP dan Yayasan Pahang. – PAHANGMEDIA