Oleh : Ain Nadhirah Basha
TEMERLOH, 07 SEPTEMBER 2024 : Penubuhan ORACO (Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd) oleh Kerajaan Negeri Pahang adalah bertujuan bagi menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata ia juga bagi menyampaikan maklumat berkenaan dasar dan insentif Kerajaan Negeri kepada masyarakat Orang Asli.
“Sebab di wujudkan ORACO (Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd) ini pada asalnya untuk menjaga kebajikan Orang Asli bagi membantu gerak kerja yang ada di Negeri Pahang ni kerana Negeri Pahang mempunyai lebih 90,000 Orang Asli dan kampungnya agak banyak dan (kedudukannya) berterabur yang memerlukan kepada gerak kerja dengan jumlah yang lebih besar. Tak memadai dengan satu pihak untuk menjaga kebajikan mereka.
“Sewaktu YAB Menteri Besar menjadi exco dulu, dia merasakan banyak pembangunan perlu dibuat kepada masyarakat Orang Asli kerana mereka ini seolah-olah macam jauh sangat tertinggalnya.
“Jadi sebab itu perlu diperkasakan maka diwujudkan ORACO yang dibina melalui proses perundangan oleh Kerajaan Negeri secara formaliti, diluluskan di dalam dewan dan ORACO ada struktur organisasinya dan dia menjaga kepentingan dan kebajikan masyarakat Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Majlis Taklimat Perumahan di Masjid Baharu Kampung Gunung Senyum.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam mejaga kebajikan masyarakat Orang Asli melalui pembinaan rumah percuma, pemberian bantuan pelajaran serta pelbagai insentif lain agar golongan ini dapat dibantu bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
“Sebenarnya ORACO telah kita gerakkan pergi ke kampung-kampung tapi maklumlah dalam jangka masa yang pendek tak dapat semua tempat dan semua individu untuk dia bertemu, berjumpa, dan adalah pihak-pihak masih belum ditemui, dijumpa, dihubungi.
“Contoh, pelajar-pelajar yang nak ke universiti, ORACO diminta oleh Kerajaan Negeri untuk membantu mereka seumpama memberi laptop, bantuan-bantuan berbentuk kewangan sedikit supaya pelajar nak pergi ke IPTA dapat belajar dengan keadaan selesa.
“Pada tahun lepas saja kita dah membantu Orang Asli, melalui ORACO ni lebih 100 orang pelajar dan ORACO juga di minta oleh YAB Menteri Besar Pahang untuk membantu tempat tinggal, pada tahun 2023 membantu sebanyak 100 keluarga rumah terima rumah baru melalui ORACO dan tahun ini dijangkakan 115 buah akan dibina kerana Orang Asli perlu kepada tempat tinggal yang selesa,” katanya.
Sebelum ini, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zukfifli Haji Yaacob telah mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan kenyataan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang berkenaan projek TSK(OA) menerusi satu video di aplikasi TikTok yang tidak tepat dan berbaur hasutan yang boleh memberi kesan buruk kepada Kerajaan Negeri.
Dan semalam, Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) telah mengeluarkan satu kenyataan media meminta Kerajaan Negeri Pahang agar menghentikan pengoperasian dan menutup ORACO di ladang-ladang Orang Asli serta merta. -PAHANGMEDIA

