Oleh : Fansurina Abdullah
RAUB, 8 JUN 2024 : Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser Kali Ke-35 berjaya menarik penyertaan sebanyak 109 pasukan tahun ini berbanding tahun lalu yang mencatatkan peningkatan sebanyak 113 peratus.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man berkata, peningkatan jumlah peserta ini termasuklah 51 kumpulan peserta antarabangsa, 58 peserta tempatan dan pelajar.
Menurutnya, kadar peningkatan penyertaan ini didorong oleh kemunculan empat spesies burung migrasi dari Siberia Utara Rusia dan rangkaian Pulau di Utara Selatan yang jarang ditemui di Bukit Fraser selepas tiga tahun.
“Di Bukit Fraser terdapat melebihi 250 spesies burung dan yang paling signature atau pun ikon kita adalah Silver Eared Mesia dan saya dapati baru-baru ini kita dapat empat spesies yang kembali semula selepas tiga tahun iaitu White Crown Hornbill, Dusky Broadbill, Chestnut Semiter Babbler dan Green Broadbill,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Upacara Flag Off Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser Kali Ke-35 di Bukit Fraser, Raub.
Acara tahunan yang telah diadakan sejak tahun 1988 ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Bird Life International dan ditaja oleh YL Camera (M) Sdn Bhd dan beberapa jenama besar pengeluar kamera dan barangan aksesori kamera.
Pada tahun ini, Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser terbahagi kepada tiga kategori iaitu Advance, Novice dan Student selain beberapa aktiviti pengisian turut diadakan iaitu wacana (bird talk), pertandingan fotografi, pameran dan lawatan berpandu secara percuma (complimentary guided tour).
Penganjuran acara pada tahun ini telah berjaya mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi sepanjang penganjuran dengan sebanyak 109 kumpulan peserta yang terdiri daripada 58 kumpulan tempatan dan pelajar manakala 51 kumpulan merupakan peserta antarabangsa dari Filipina, Vietnam, Thailand, Kemboja, Singapura, Indonesia, India, Hong Kong, SAR China, Jepun, Peru, Bhutan, Nepal dan United Kingdom.
Bagi pertandingan fotografi pula, seramai 94 peserta telah mendaftar bagi menyertai pertandingan itu bersempena Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser kali ini.
Penganjuran ini merupakan usaha untuk mewujudkan jaringan sinergi antara Tourism Pahang dan agensi-agensi luar yang terlibat secara langsung bagi menjayakan program ini. – PAHANGMEDIA

