Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 APRIL 2024 : Kerajaan Negeri Pahang melahirkan rasa bangga apabila Kuantan di pilih sebagai destinasi pertama Kejohanan Asia-Pacific Tree Climbing Championship 2024 (APTCC) yang merupakan sukan bertaraf antarabangsa di negara ini.
Menurut Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man, acara yang julung kali diadakan di Malaysia ini merupakan sukan yang mempromosikan alam sekitar dan pemeliharaan pokok.
“Acara ini memberikan peluang kepada penonton untuk menyaksikan kemahiran memanjat pokok dengan teknik terkini oleh para
pemanjat profesional dari seluruh rantau Asia Pasifik.
“Seramai 51 peserta akan berentap di kejohanan bertaraf antarabangsa ini. Para peserta adalah dari negara Australia, Hong Kong, Japan, New Zealand, Korea, Singapura, Taiwan dan Thailand.
“Acara ini juga membolehkan peserta menunjukkan kemahiran mereka dan menjadi platform bagi mempromosikan kesedaran alam sekitar,” katanya.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Arborist Malaysia, YBhg. Encik Nik Ikmal Fathi berkata Kelab Golf DiRaja Pahang dipilih berdasar ia mempunyai pokok yang sesuai digunakan dalam oertandingan berkenaan.
“Dalam pemilihan pokok, ia bukan pokok yang biasa. Kita perlu ada beberapa kriteria yang mencukupi daripada segi ketinggian, cabaran daripada cabang, dan cabaran untuk mendaki.
“Sebelum ini bila pertandingan di negara luar, pokok mereka sedikit berlainan. Dan mereka (peserta luar) datang ke Malaysia, mereka tengok pokok tembusu, memang lain daripada yang mereka ada daripada segi cabaran, kulit pokok, mahupun struktur pokok. Dan ini menjadi satu cabaran bagi mereka.
“Dan di sini kita dapat kumpulkan satu kumpulan pokok dalam satu tempat bagi lima kategori, iaitu lima pokok. Kita juga telah melawat banyak tempat lain sebelum menjumpai tempat ini,” katanya.
Beliau berkata semua peserta akan bersaing dalam lima acara awalan (Masters’ Qualifying Events) yang mempamerkan kecekapan, teknik, dan kepantasan sambil menekankan kepentingan keselamatan dan penjagaan pokok yang betul.
“Acara-acara ini adalah Aerial Rescue, Work Climb, Ascent, Belayed Speed Climb, dan Throwline.
“Jumlah markah dari semua lima acara akan digabungkan untuk menentukan peserta lelaki dan wanita yang akan mara ke Cabaran Master (Masters’ Challenge).
“Cabaran Master adalah satu acara di mana peserta akan dinilai berdasarkan teknik dan kecekapan mereka. Juara lelaki dan wanita APTCC akan ditentukan berdasarkan markah tertinggi dalam pusingan ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

