Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 02 APRIL 2024 : Kerajaan Negeri Pahang mengalukan lebih banyak syarikat dan pihak swasta meraikan golongan yang kurang bernasib baik.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan, ia juga dapat menyokong usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Kita turut menggalakkan pihak swasta mahupun orang persendirian untuk memberikan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik ini seperti anak-anak istimewa dan mereka yang kurang upaya.
“Sumbangan yang diberikan ini sekurang-kurangnya dapat menggembirakan hati mereka. Dan Kerajaan Negeri Pahang turut menyediakan bantuan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Nur Ramadan 2024 dengan kolaborasi RTM, Yayasan Pahang, MZ Gold dan Jakel di Jakel Kuantan.
Beliau dalam program sama, turut meminta ibu bapa yang memiliki anak istimewa untuk membawa anak mereka ke pusat pemulihan atau sekolah khas yang disediakan kerajaan.
“Jangan ‘simpan’ anak istimewa seperti autisme di rumah. Jangan rasa malu untuk membawa mereka ke pusat aktiviti yang disediakan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pelbagai badan bukan kerajaan lain.
“Institusi khusus ini dapat memberi tunjuk ajar, sokongan dan didikan secara khas kepada anak-anak istimewa ini,” katanya.
Seramai 30 kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan dan asnaf dari pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kuantan diraikan dalam program Nur Ramadan 2024, hari ini.
Sementara itu, dalam program bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Jakel, seramai sembilan anak yatim dan kurang berkemampuan diraikan.
Melalui program berkenaan, mereka diberikan set baju raya dan sumbangan wang sempena Aidilfitri. -PAHANGMEDIA

