Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
MARAN, 24 FEBRUARI 2024 : Kira-kira 50,000 peminat permotoran bakal membanjiri RXZ Fighter yang akan diadakan di Serambi Teruntum pada 1 hingga 2 Mac depan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, program yang julung kali diadakan ini menyediakan pelbagai pengisian sepanjang program berlangsung.
“Kita akan adakan event RXZ Fighter julung-julung kalinya diadakan di Kuantan pada 1 dan 2 Mac, banyak pengisian selain daripada fokus kepada permotoran, kita juga ada program Subuh Warrior, mat-mat motor solat di masjid negeri.
“Ini adalah program julung-julung kali diadakan dan 10,000 t-shirt terawal sudah habis dijual dan kalau kebiasaannya, jika 10,000 terjual ni, 40,000 ke 50,000 peserta confirm hadir dari seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Elephant Warrior Camp 2024 REVOS2030 yang berlangsung selama empat pada 23 hingga 26 Februari bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Jengka, malam tadi.
Hadir sama ialah Pengarah MSP, YBrs Encik Zamri Hassan, Ketua Kontinjen Pahang yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Pahang, YHM Tok Muda Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah dan Timbalan Rektor UiTM Cawangan Jengka, Profesor Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja dapat menghimpunkan ribuan peminat permotoran negara tetapi juga dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat dengan peningkatan ekonomi di dalam pelbagai sektor.
Justeru, beliau mengalu-alukan orang ramai khususnya peminat permotoran dari seluruh negara untuk sama-sama memeriahkan program RXZ Fighter nanti.
“Saya mengalu-alukan semua peminat permotoran kita fokus RXZ tetapi ramai juga yang bawa motor-motor lain, tiada masalah, kita raikan semuanya, selamat datang ke Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

