Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 04 JULAI 2020 : Calon Barisan Nasional, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) Chini, Mohd Sharim Md. Zain berpuas hati dengan perjalanan mengundi setelah selesai mengundi di Felda Chini 3, di sini hari ini.
Beliau yang berbaju melayu hijau hadir bersama isteri, Norhiliyana Abdul Hamid, 27, pada jam 9.10 pagi sebelum mengundi di saluran empat di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Felda Chini 3.
Beliau berkata beliau turut berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan pandemik COVID-19.

“Bagi saya SOP apa pun kita telah mematuhi sebaik mungkin. Hanya dalam suasana yang ramai mungkin kita tak dapat kawal dari segi keseluruhan,tapi kita cuba untuk mematuhi segala peraturan SOP yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai mengundi di Felda Chini 3, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Pekan yang juga Pengarah Operasi Barisan Nasional (BN) bagi PRK Chini, YB. Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengiringi Mohd. Sharim.

Mengulas mengenai keyakinan terhadap PRK kali ini, beliau percaya dengan segala usaha yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional dan jentera Muafakat Nasional.
“Alhamdulillah, saya rasa kita (Barisan Nasional) percaya dengan apa telah kita buat. Kita telah bergerak selama 14 hari dan kita serahkan ketentuan kepada Allah pada hari ini (Pilihan Raya Kecil) kerana kita dah buat yang terbaik.
“InsyaAllah kita doakan kejayaan untuk Barisan Nasional,” katanya.
Untuk rekod seramai 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa terlibat dengan PRK Chini ini di 13 pusat mengundi di 65 saluran- PAHANGMEDIA.