Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 24 OKTOBER 2023 : Golongan wanita khususnya ibu tunggal Pahang tidak pernah diketepikan malahan Kerajaan Negeri terus giat memperkasa dan menambahbaik taraf ekonomi golongan tersebut.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, Kerajaan Pahang menerusi Unit Pembangunan Wanita Negeri Pahang sentiasa meletakkan keutamaan kepada golongan ibu tunggal.

“Melalui Unit Wanita, Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan bantuan kepada lebih kurang 7,000 orang (ibu tunggal) pada bulan puasa yang lepas,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Kali Ke-9 Tahun 2023 di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.
Mesyuarat agung yang disertai kira-kira 100 orang peserta itu turut dihadiri oleh Presiden Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia, YH. Dato’ Melati Ali serta barisan pengerusi dan wakil persatuan ibu tunggal Semenanjung.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang telah membuat perancangan untuk menganjurkan program bimbingan bagi golongan ibu tunggal yang menerima bantuan Anggun Care bagi memantau perkembangan para penerima.
“Kita juga ada Anggun Care, kita memilih ibu tunggal yang berniaga, Kerajaan Negeri juga menyumbang setiap ibu tunggal tersebut sebanyak RM1,000 seorang, dan kita akan memantau perniagaan mereka,” katanya.
Beliau yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail turut menyifatkan pemilihan Negeri Pahang sebagai lokasi mesyuarat agung tahunan persatuan tersebut sebagai satu penghormatan kepada Negeri Pahang itu sendiri. – PAHANGMEDIA

