YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

PAHANG LULUS PEMBERIAN BANTUAN KHAS PENGHARGAAN PENJAWAT AWAM

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 30 OGOS 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan pemberian Bantuan Khas Penghargaan Penjawat Awam sebanyak RM300 seorang.

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pemberian bantuan khas ini juga diberikan kepada pesara Kerajaan Negeri Pahang.

“Kerajaan Negeri Pahang menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada hari ini telah meluluskan pemberian Bantuan Khas Penghargaan Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan Negeri Pahang.

“Penjawat Awam Negeri Pahang (Gred 54 dan ke bawah) akan menerima RM300 seorang yang melibatkan 8,000 orang penerima termasuk pegawai serta kakitangan kontrak.

“Manakala pesara Kerajaan Negeri pula akan menerima RM200 seorang,” menurut kenyataan tersebut.

Beliau dalam kenyataan tersebut juga memaklumkan pemberian bantuan khas yang akan dibuat pada September ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2.4 juta.

“Pemberian ini juga merupakan tanda penghargaan dan terima kasih daripada Kerajaan Negeri kepada penjawat awam yang sentiasa berdedikasi menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah.

“Saya berharap dengan pemberian bantuan khas ini penjawat awam Negeri Pahang akan dapat meningkatkan perkhidmatan mereka demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram