Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUALA LUMPUR, 29 OGOS 2023 : Kerajaan Negeri Pahang menunjukkan komitmen dalam penghasilan Tenaga Boleh Baharu (TBB) secara langsung melalui pembekalan bahan mentah bagi biomas pelet yang dijalankan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri, LKPP Corporation.
Kilang Sawit Dominion Square (DSSB) yang merupakan anak syarikat LKPP Corporation di Gambang membekal bahan mentah berupa tandan kosong kelapa sawit dan bangunan kilang bagi proses ini.
Penghasilan Tenaga Boleh Baharu yang menjadi antara agenda utama negara pada masa kini melalui National Energy Transition Roadmap (NETR) ini dijalankan dengan proses penyahkarbonan bahan buangan industri sawit.
Proses solusi hijau ini dijalankan oleh IHI Corporation bagi menukar teknologi ammonia kepada tenaga melalui pembuatan biomas pellet daripada bahan buangan industri sawit yang terdiri daripada tandan kosong kelapa sawit dan batang kelapa sawit.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail juga telah melawat pameran IHI Corporation di The Energy Transition Conference yang dianjurkan oleh TNB.
Dato’ Sri Wan Rosdy juga sebelum ini telah melancarkan loji biogas IHI di DSSB pada 2019 yang terletak bersebelahan dengan kilang pallet berkenaan. -PAHANGMEDIA