Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun sering turun padang melihat sendiri kesusahan yang dihadapi oleh rakyat di DUN Pelangai. - Gambar Ihsan Facebook Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun
PEMERGIAN ALLAHYARHAM DATO’ SRI JOHARI HARUN KEHILANGAN BESAR BUAT WARGA PELANGAI
Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto : Najmuddin Zahid
BENTONG, 28 OGOS 2023 : “Pemergian arwah memang satu kehilangan yang amat besar buat kami warga Simpang Pelangai,” itu kongsi peniaga kedai makan, Encik Jafri Mohd Kasim, 55.
Encik Jafri yang kelihatan sebak ketika berkongsi cerita mengenai Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun berkata, penduduk setempat telah kehilangan sebuah ‘permata’ yang amat bernilai.
“Beliau memang pemimpin yang berjiwa rakyat dan pemergian arwah kehilangan buat kami dari segi pembangunan, dia (arwah) baru sedang merancang.
Encik Jafri Mohd Kasim, 55.
“Allahyarham berjiwa rakyat dari segi sumbangan (yang diberi), dengan rakyat memang arwah rapat sangat, dan sumbangan dia memang banyak, dia sumbang ke pusat tahfiz, warga emas, dan orang yang memerlukan bantuan.
“Dia akan salurkan (bantuan), dia tak pilih parti (penerima sumbangan), dia akan sumbang. Ini yang saya maksudkan satu kehilangan yang sangat besar,” katanya.
Encik Jafri turut memberitahu Allahyarham akan memesan air kelapa setiap kali singgah ke kedainya yang berdekatan dengan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai bersama-sama rakan dan penduduk setempat.
“Dia memang amat mesra, peramah. Dia selalu datang sini (kedai) setiap kali ada program ke dia akan datang minum dekat sini. Dia selalu minum air kelapa. Dia duduk minum di sini sambil tanya apa permasalahan rakyat, dia akan tanya masalah rakyat macam mana.
“Hari arwah terlibat nahas, saya buka kedai macam biasa, masa tu penduduk yang ada memang tak boleh terima, macam iye ke, betul ke (berita nahas), memang rasa sedih, tak dapat nak terima,” kongsinya.
Allahyarham Dato’ Sri Johari merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai adalah salah seorang mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina dalam insiden 2.40 petang 17 Ogos lepas. – PAHANGMEDIA