Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Cik Leong Yu Man ketika Majlis Perasmian dan Pelancaran Kampung Cashless Mukim Ulu Tembeling, Jerantut.

PAHANG SENTIASA SOKONG PEMBAYARAN MELALUI TRANSAKSI DIGITAL KE ARAH NEGERI PINTAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Tourism Pahang

KUANTAN, 28 OGOS 2023 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong penggunaan transaksi digital bagi semua urusan pembayaran dalam memastikan Pahang menjadi negeri pintar.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Cik Leong Yu Man berkata, bagi memastikan ia dapat dicapai, Kerajaan Negeri sentiasa mengorak langkah bersama-sama pihak institusi-institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank.

“Penganjuran inisiatif seperti ini amat membantu memperluaskan aktiviti ekonomi peniaga mahupan orang awam melalui platform berteknologi tinggi serta pembayaran tanpa tunai bagi mengurangkan jurang digital di kalangan bandar.

“Saya ambil maklum bahawa bukan mudah untuk merealisasikan perkara seperti ini tetapi saya yakin dengan gabungan tenaga kerja dari seluruh pihak ianya dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Kampung Cashless Mukim Ulu Tembeling, Jerantut.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur khususnya kepada Agrobank dan Bank Negara Malaysia yang sentiasa memberi sokongan positif terhadap usaha ini.

“…terhadap hasrat untuk memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam mendapat akses perbankan mudah dan selamat serta memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat terutamanya di kawasan- kawasan berpotensi tinggi di dalam sektor pelancongan.

“Saya difahamkan, inisiatif ini bukan yang pertama untuk Agrobank kerana sebelum ini Agrobank telah mengadakan inisiatif yang sama tetapi dipanggil sebagai “Cashless Pekan Sehari Temerloh”. Program ini adalah dengan usaha sama Majlis Perbandaran Temerloh dan Pekan Sehari ini juga merupakan antara produk pelancongan utama di Pahang.

“Kini, Agrobank dengan kerjasama pelbagai pihak telah melebarkan perkhidmatan cashlessnya ke Mukim Ulu Tembeling, Jerantut dan saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah di atas kejayaan pelaksanan program cashless ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan dengan pelancaran program ini sedikit sebanyak telah membantu industri pelancongan khususnya di Taman Negara.

“Dengan penyediaan mod pembayaran lebih mudah, cepat dan selamat melalui penggunaan DuitNow ini dapat meningkatkan lagi kemudahan terutamanya kepada pelancong-pelancong yang datang ke Taman Negara.

“Saya difahamkan juga, pengusaha-pengusaha bot dan peniaga-peniaga sekitar telah mula mengguna pakai pembayaran secara digital ini dan ianya sudah tentu dapat memastikan pengurusan kewangan yang lebih selamat, mudah dan efisien serta memberikan satu pandangan Taman Negara ini telah menuju ke arah penggunaan transaksi tanpa tunai,” katanya.

Beliau dalam ucapanmua turut menyeru rakyat di negeri ini untuk mengadaptasi penggunaan pembayaran digital bagi memastikan persekitaran pembayaran dan kewangan lebih mudah dan selamat.

“Kerajaan Negeri Pahang berharap dengan Initiatif digital atau cashless ini akan dapat sedikit sebanyak membantu meningkatkan jualan para peniaga.

“Kerajaan Negeri Pahang juga komited untuk terus mara ke hadapan dalam usaha pembaharuan digital dan pintar seiring dengan penglibatan setiap lapisan masyarakat dan pihak industri,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram