Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.03 juta bagi pelaksanaan projek baikpulih rumah dan projek pembekalan air ke kampung Orang Asli di negeri ini. - Gambar hiasan

PAHANG SENTIASA AMBIL BERAT KEBAJIKAN MASYARAKAT ORANG ASLI

Oleh : Ain Nadhirah Basha

BERA, 26 OGOS 2023 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengambil berat berkenaan kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri ini melalui bantuan-bantuan yang diberikan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kesemua bantuan ini disalurkan melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP).

“Kerajaan Negeri daripada setahun ke setahun sentiasa memikirkan kebajikan untuk masyarakat Orang Asli dan mereka yang memerlukan bantuan yang kita namakan Bantuan Prihatin Pahang.

“Contohnya sebagai rumah rakyat Pahang, setiap wakil rakyat akan dapat lapan buah rumah untuk diberikan kepada mereka yang layak tapi kita tambah lagi 100 buah rumah untuk masyarakat Orang Asli bagi tahun ini. Dan bagi tahun depan insya Allah sama ada kekal (jumlah rumah) atau kita akan tambah, bergantung kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Santuni Saudaraku Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1455H / 2023M di Perkampungan Orang Asli Kampung Pasal hari ini.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifli Haji Ali Al-Hafiz; Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Encik Johari Alwi; Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif@Ahmat; dan Pegawai Daerah Rompin, YH. Dato’ Ahmad Nasim Mohd Sidek

Beliau berkata bantuan kepada masyarakat Orang Asli berkenaan perkahwinan kali pertama masih sedikit berkemungkinan mereka tidak memaklumkan kepada pihak terbabit.

“Setakat ini yang memaklumkan kepada kita tak berapa ramai lagi, sama ada mereka terlupa atau sebagainya tidak dapat dipastikan.

“Tetapi kita dah war-warkan bahawasanya mereka yang berkahwin kali pertama akan dapat RM300,” katanya.

Seramai empat pasangan Orang Asli yang baharu berkahwin menerima bantuan BPP RM300 yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang selain turut menyampaikan bantuan BPP kepada 38 orang saudara baru yang memeluk Islam. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram