Exco Hal Ehwal Agama, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika majlis perasmian kempen mencetak dan mengedarkan sejuta naskhah al-Quran melalui Yayasan Restu di pekarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan

PAHANG LANCAR KEMPEN INFAK DAN WAKAF SEJUTA AL-QURAN ZON TIMUR

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 25 OGOS 2023 : Pahang menyambut baik kempen mencetak dan mengedarkan sejuta naskhah al-Quran melalui Yayasan Restu sebagai respon daripada pembakaran al-Quran di Sweden yang lalu.

Sehubungan itu Yayasan Restu memilih Pahang sebagai destinasi pertama bagi kempen berkenaan yang disifatkan sangat bagus dan wajar disokong oleh semua pihak.

Exco Hal Ehwal Agama, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ia adalah satu cara untuk memberikan pemahaman lebih baik mengenai kandungan Al-Quran kepada masyarakat.

“Setakat ini mereka sudah menghasilkan terjemahan Al-Quran kepada lebih 10 bahasa dan ada antaranya sudah diedarkan kepada umum.

“Jika sebelum ini kita sukar untuk memahami kandungan Al-Quran kerana tidak mahir dalam bahasa Arab, sekarang ada Al-Quran yang mempunyai terjemahan dalam bahasa Melayu, selain bahasa-bahasa lain,” katanya selepas merasmikan program berkenaan di pekarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, hari ini.

Dalam pada itu beliau turut berharap usaha Yayasan Restu menerima sokongan daripada semua agensi dan jabatan kerajaan negeri.

“Semoga usaha ini menjadi saham ke arah memantapkan kefahaman dan amalan ummah terhadap al-Quran, menggerakkan masyarakat untuk beramal, menangani islamofobia dan berdakwah kepada keindahan Islam yang sebenar. Insya-Allah, Malaysia juga akan menjadi pusat terjemahan al-Quran yang terulung di dunia.

“Jumlah infak bagi program itu adalah bergantung kepada kemampuan masing-masing. Kita ada bermacam-macam agensi, bermacam-macam jabatan negeri di Pahang dan saya menyeru semua pihak dapat sama-sama bersedekah kepada (program) wakaf ini,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram