Oleh: Farahin Rosli
JERANTUT, 21 OGOS 2023 : Seorang ibu tunggal mualaf, Puan Norazizah Gadoh, 44, melahirkan rasa terharu apabila menerima sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) daripada sumbangan Kerajaan Pahang.
Puan Norazizah berkata, bantuan yang diterima amat membantu untuk menyara keluarganya kerana ketiadaan sumber pendapatan dan hanya bergantung bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Suami saya sudah meninggal dunia, saya ada empat orang anak dan dua orang masih bersekolah. Bantuan ini saya boleh guna untuk tampung sekolah anak, bantuan dari JKM sebanyak RM450 tidak cukup.
“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang kerana bagi sumbangan kepada mualaf dan ibu tunggal seperti saya. Saya pula ada masalah ketumbuhan di pangkal rahim, bantuan ini dapat meringankan beban saya,” katanya.
Bagi penerima bantuan kategori masjid dan surau kebenaran setempat, Encik Sabri Ali, 63, bantuan yang diterima sebanyak RM10,000 dapat membantu baik pulih keadaan masjid di kampungnya.

“Saya mewakili pengerusi Masjid Attaqwa Kampung Simpang Tebing Tinggi, berasa bersyukur atas bantuan yang diterima. Masjid tersebut dalam proses untuk diruntuhkan kerana keadaan masjid yang agak teruk akibat banjir, dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat digunakan untuk kerja baik pulih masjid. Terima kasih YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang,” ujarnya.
Bagi pelajar Maahad Darul Tahfiz Quran, Muhammad Firqan Iman Mohd Hazmi, 17, bantuan tersebut amat bermakna untuknya.

“Bantuan ini saya boleh guna untuk simpanan masa hadapan yang boleh saya guna untuk lanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi nanti,” katanya.
Penerima Bantuan dalam bentuk tunai diserahkan kepada 974 jumlah penerima melibatkan mualaf, pelajar tahfiz dan maahad tahfiz manakala sebanyak 57 buah masjid dan surau kebenaran jumaat di sekitar daerah Jerantut turut menerima bantuan dalam bentuk cek.
Kesemua penerima menerima bantuan tersebut ketika Majlis Pelancaran dan Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 Kepada Masjid, Surau Kebenaran Jumaat, Maahad Tahfiz, Pelajar Tahfiz dan Mualaf Negeri Pahang dan Pecah Tanah Pembinaan Baharu Asrama Putera Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar di sini, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama iaitu Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz; Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Dato’ Haji Abdul Zaki Md Zain; Pegawai Daerah Jerantut, Dato’ Khairun Nissa Aris; serta barisan kepimpinan setempat.
Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM706,500 untuk disalurkan di daerah Jerantut kepada mualaf, pelajar tahfiz, maahad tahfiz serta masjid dan surau melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPP) 2023. – PAHANGMEDIA