Oleh : Fansurina Abdullah
JERANTUT, 21 OGOS 2023 : Kerajaan Pahang tidak pernah meminggirkan mana-mana kawasan di negeri ini dalam pengagihan bantuan termasuklah Daerah Jerantut dengan memperuntukkan RM706,500 bagi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Tahun 2023.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pemberian bantuan ini diberikan kepada semua rakyat tanpa mengambil kira perbezaan fahaman politik.
“Tidak kira sama kawasan itu di bawah pentadbiran oleh Adun-Adun yang diwakili oleh kerajaan atau pun Adun-Adun yang bukan diwakili oleh kerajaan sebab kita memikirkan kepentingan rakyat yang menyeluruh.
“Itu cara kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang dan kita tidak ada pilih dan kita tidak tanya masjid ini haluannya ke mana, pelajar tahfiz ini haluannya ke mana, yang kita fikir ianya adalah rakyat Negeri Pahang, mereka layak mendapat layanan yang sama oleh Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili YAB Menteri Besar Pahang menyampaikan BPP 2023 pada Majlis Pelancaran dan Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 kepada Masjid, Surau Kebenaran Jumaat, Maahad Tahfiz, Pelajar Tahfiz, Mualaf dan Pecah Tanah Pembinaan Baharu Asrama Putera Sekolah Menengah Agama (SMA) Pulau Tawar di Jerantut, petang tadi.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz, Timbalan Pengarah JAIP, YH. Dato’ Abdul Zaki Md Zain, Pegawai Daerah Jerantut, YH. Dato Khairun Nissa Mohd Aris, pegawai-pegawai daerah dan pemimpin setempat.
Pada majlis itu seramai 106 mualaf menerima RM200 seorang dengan jumlah RM21,200, seramai 853 pelajar tahfiz menerima RM100 seorang dengan jumlah keseluruhan RM85,300, sebanyak 15 Maahad Tahfiz menerima RM2,000 dengan jumlah RM30,000 manakala 57 masjid telah mendapat sumbangan RM10,000 bagi setiap masjid dengan jumlah RM57,000.
Turut disampaikan adalah penyerahan mock cek BPP 2023 kepada Pengarah JAIP, penyerahan surat kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu FELDA dalam Mukim Pulau Tawar, Jerantut dan penyampaian kenderaan Toyota Innova kepada Kuliah Lughah Waddin Sultan Abu Bakar, Pekan. – PAHANGMEDIA